UMNO sedia bantu Mohd. Radzhi
SIK 26 Ogos - UMNO sedia membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lunas, Mohd. Radzhi Salleh yang kini menjadi wakil rakyat Bebas sekiranya beliau memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) Kedah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, UMNO dan BN mempunyai kemampuan membantu rakyat setiap masa berbanding kerajaan negeri sendiri.
"Saya berharap dia akan bersama-sama menyokong kita seperti rakannya yang isytihar keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Perak.
"Kalau dia bersama-sama dan nyatakan sokongan terhadap BN, Insya-Allah kita akan bantu penuhi keperluan penduduk di dalam kawasannya," katanya.
Ahmad Bashah berkata, pihaknya percaya Mohd. Radzhi sebelum ini menjalankan tugasnya selaku ADUN dengan baik tetapi tidak mampu menunaikan permintaan pengundi.
"Kita tahu bahawa sebelum ini dia tak berapa berani balik ke kawasan kerana pengundi Lunas tuntut macam-macam sedangkan kerajaan negeri tak mampu nak bagi. Sebab itu dia tak boleh tunggu lagi," katanya.